Lelaki 20 tahun maut setelah PMD terbakar dalam lif di Woodlands

Singapura: SEORANG lelaki berusia 20 tahun meninggal dunia akibat kebakaran yang berlaku di dalam lif di Blok 537 Woodlands Drive 16 pada malam Khamis (3 Jun).

Sebuah alat mobiliti peribadi (PMD) berada di dalam lif itu.



Pada Jumaat, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu kiriman di Facebook berkata pihaknya diberitahu tentang kebakaran itu sekitar 11.25 malam pada Khamis. Kebakaran itu melibatkan PMD di lif.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan air sebelum SCDF tiba.

SCDF berkata satu orang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat dengan kecederaan parah akibat kebakaran.





Pada Jumaat, jurucakap polis memberitahu The Straits Times bahawa lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Siasatan sedang dijalankan dan tiada perbuatan khianat disyaki.

SCDF berkata kira-kira 90 penduduk dari blok yang terjejas dipindahkan oleh polis sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia berkata siasatan awal mengenai punca kebakaran menunjukkan ia bermula dari PMD.




SCDF mengingatkan orang ramai bahawa PMD bukan UL2272 dan sebarang bentuk modifikasi terhadap PMD menimbulkan risiko kebakaran dan mengancam keselamatan orang ramai.

Ia berkata pemilik alat itu digalakkan membuang alat mereka di pengitar semula yang sesuai.

Mulai sekarang hingga 30 Jun, orang ramai boleh membuang PMD mereka di mana-mana pusat pengumpulan KGS tanpa sebarang kos. – BH