Anaknya Maut Ditembak Gara-Gara Ibu Bagi Isyarat Lucah

“Ibu, perut saya sakit”. Itulah luahan Aiden Leos, 6 tahun, selepas dia terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang pengguna jalanraya yang tidak puas hati dengan ibu mangsa di sebuah lebuhraya di Orange County, California.


Menurut laporan, pada hari kejadian, ibunya telah memotong sebuah kereta jenis Volkswagen berwarna putih sebelum memberikan isyarat lucah kepada suspek.

Berang dengan tindakan ibu mangsa, suspek iaitu pemandu wanita bersama seorang penumpang lelaki telah bertindak mengejar kereta mereka sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah mereka.





Apa yang lebih menyayat hati, tembakan itu telah menembusi bahagian belakang kereta jenis Chevrolet yang dinaiki mereka sebelum terkena bahagian perut kanak-kanak malang tersebut.




Terkejut dengan insiden tersebut, ibu mangsa terus memberhentikan keretanya di tepi jalan dan meraung meminta tolong apabila menyedari anaknya terkena tembakan itu.

Mengikut saksi kejadian, mereka melihat si ibu dalam keadaan panik dan cuba meminta bantuan. Seorang anggota polis yang berada berhampiran lokasi kejadian cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR). Apabila paramedik tiba, mangsa terus dibawa ke hospital berdekatan, namun malangnya kanak-kanak itu gagal diselamatkan.