VIDEO Peronda lebuh raya maut dirempuh SUV

Kuala Lumpur: Kemalangan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala Ampang petang tadi, mengorbankan seorang peronda lebuh raya manakala lima yang lain cedera dan seorang selamat.

Mangsa yang maut ialah Azman Junin, 55, manakala rakan sekerjanya, Mohd Rahmad Che Bulat@Che Mud, 41, cedera ringan di kaki dan tangan.



Turut cedera ialah empat lagi pemandu kenderaan lain termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 52 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis menerima laporan kemalangan yang membabitkan kenderaan peronda, kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson, Proton Saga, Perodua Myvi dan Bezza pada 5.15 petang.





Menurutnya, siasatan awal mendapati dua peronda AKLEH itu sedang dalam tugas kawalan lalu-lintas selepas sebuah kenderaan terbabit kemalangan.

“Pada masa sama, tiga orang awam berhenti di kiri jalan bagi membantu kemalangan itu.

“Kemudian datang sebuah SUV dipandu seorang wanita yang berada di lorong kanan secara tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh empat kenderaan yang berada di kiri jalan.




“Akibat rempuhan itu, lima mangsa termasuk pemandu SUV cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan manakala seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.