Sate beracun untuk bunuh kekasih tersasar

Jakarta: Seorang wanita di Jawa Barat berdepan hukuman mati selepas cuba membunuh teman lelakinya dengan sate beracun.

Kompas melaporkan, wanita berkenaan, Nani, 25, nekad mengirimkan teman lelakinya dengan sate yang sudah diletakkan racun.

Ketua Polis Daerah, Burkan Rudy Satriya berkata, kejadian itu sebaliknya menyebabkan orang lain iaitu anak seorang pemandu ojek (teksi motosikal) meninggal dunia akibat memakan sate beracun berkenaan.


“Wanita itu dan teman lelakinya pernah menjalinkan hubungan sebelum pasangannya itu berkahwin dengan wanita lain,” katanya.

Burkan berkata, Nani ditahan di rumahnya di Bantul, Jumaat lalu dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai bungkusan sate dan lontong.

“Dia tidak melarikan diri, polis menahannya di rumahnya,” katanya.





Suspek juga dikatakan sudah merancang kejadian berkenaan dengan membeli racun kalium sianida secara dalam talian.

Burkan berkata, polis menyita beberapa barang bukti seperti topi keledar, sandal, wang tunai 30,000 rupiah (RM8.50) dan dua motosikal.

Sabit kesalahan, Nani berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 20 tahun.





Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki maut dipercayai keracunan gara-gara makan sate yang dikirim secara misteri oleh seorang perempuan.

Terdahulu, bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu ojek didatangi seorang wanita yang memintanya untuk mengirimkan sate kepada seorang lelaki.