Maut ditikam kerana terpijak kepala ketika tidur

Kota Bharu: Akibat terpijak kepala ketika sedang tidur, seorang penjaga ayam naik angin sebelum menikam seorang lelaki sehingga mati di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 11.46 malam itu suspek warga Thailand dikenali sebagai Man Siam, yang melarikan diri selepas kejadian.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata sebelum kejadian, mangsa berusia 38 tahun bersama bapa sepupunya pergi ke rumah seorang ahli keluarga mereka di lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 20-an tinggal di reban ayam di belakang rumah kerana bekerja sebagai penjaga ayam ternakan milik ahli keluarga mereka itu sejak awal tahun ini.

“Apabila tiba di rumah ahli keluarga, mangsa yang mengenali suspek pergi ke reban ayam di belakang rumah untuk mencarinya.




“Tidak lama kemudian, suspek datang ke rumah dan memberitahu dua lelaki terbabit bahawa dia sudah menikam mangsa menggunakan pisau atau golok kecil bersarung,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa dibawa ke Hospital Machang dan disahkan meninggal dunia.

Suspek dikenali sebagai Man Siam, 20-an ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 2.45 petang.




Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata suspek ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam semak.

“Suspek berjaya dikesan tidak jauh dari lokasi kejadian dan ditahan ketika sedang bersembunyi dalam semak.

“Kami sedang mengesan senjata digunakan suspek iaitu sebilah golok kecil.

“Permohonan reman akan dibuat untuk menjalankan siasatan terhadap lelaki warganegara Thailand itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.