Konflik Search : Din Minta Nasir Bercakap Benar

PEMAIN gitar kumpulan Search, Nordin Mohd Taib atau Din meminta rakannya yang juga pemain bass, Nasir Daud untuk tampil ke depan bagi menjelaskan situasi sebenar.

Menurut Nordin atau mesra dengan panggilan Din, konflik yang timbul melibatkan House of Champions (HOC) boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu melibatkan mahkamah.



“Dalam isu ini, Nasir lah seharusnya tampil menjelaskan perkara sebenar. Bukan membuat dakwaan tidak tepat dan sekaligus menimbulkan konflik.

“Kalau dia boleh berbincang dan beritahu masalahnya, saya rasa ini (konflik) boleh dielakkan. Kita sudah 40 tahun berkawan dan macam sebuah keluarga,” ujarnya dalam sesi sidang media secara virtual pada petang Jumaat.

Tambah Din, kerjasama antara HOC dan Search sudah terjalin sejak Februari 2020 yang lalu menerusi Konsert Apologia.

Bahkan Nasir sendiri bersama pemilik HOC, Mozylir Mokhtaruddin pernah berbincang mengenai kerjasama ini tahun lalu.





“Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada Nasir, malah Nasir sendiri pernah berbincang dengan Mozylir mengenai kerjasama ini,” jelasnya.

“Kita tak mahu bergaduh pun dari awal, tetapi sekarang sudah nampak di mata orang yang kita seakan sedang berbalah. Mereka kata saya memandai-mandai dan tuduh saya cuba merancang sesuatu di belakang.

“Apa yang saya buat? Cuba jelaskan apa dia? Kita sudah 40 tahun berkawan dan macam sebuah keluarga.Tapi mereka bagi kenyatan pun nampak macam tak kukuh, celaru. Ada pula pihak lain yang tiba-tiba nak serang saya dengan isu peribadi, untuk apa?

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana memalukan saya dengan serangan berbaur peribadi. Kita bincang isu perniagaan, maka perniagaan sahajalah,”katanya.

Terdahulu, Nasir dan bekas vokalis Search, Amy, mendakwa Din, Kid serta Mozylir menggunakan nama Search tanpa kebenaran seluruh ahli kumpulan berkenaan serta waris pemain dram mereka, Allahyarham Yazit.

Amy dan Nasir menerusi kenyataan media itu berkata, mereka pernah bersepakat bahawa sebarang projek menggunakan jenama Search mestilah mendapat persetujuan bersama sebelum dilaksanakan.

HOC sudah dapat kebenaran

Sementara itu, Mozylir berkata, HOC mendapat persetujuan dan kebenaran untuk mengeluarkan produk serta aksesori rasmi Search daripada Din, Kid atau Hamzah Mohd Taib dan Nasir sebelum ini.





“Nasir tahu setiap perancangan yang akan kami buat berhubung perniagaan ini sejak tahun lepas lagi. Saya kerap bertemu dengan dia di Johor Bharu memandangkan lokasi kami dekat dan ia memudahkan urusan perbincangan.

“Pada awalnya dia sendiri bersetuju. Apabila dia kata tidak tahu, saya agak kecewa dan terkejut.

“Segala dokumen yang berkaitan telah ditandatangani oleh Din dan telah dipersetujui untuk segala produk, reka bentuk, kuantiti yang dicadangkan dan agihan bayaran royalti kepada setiap individu yang berkaitan dengan pihak Search.

“Jadi, dakwaan mengatakan HOC tidak mendapat kebenaran Search khususnya Amy dan Nasir adalah tidak benar sama sekali.

“HOC terlibat secara langsung bagi mengeluarkan dan menjual produk rasmi Search sejak Februari tahun lalu menerusi Konsert Apologia dan ketika itu Amy mengumumkan tidak lagi bersama Search,” katanya.

Untuk rekod, Amy pernah mengumumkan dia keluar daripada Search pada 20 Mac tahun lalu sewaktu tampil pada sesi wawancara dalam sebuah portal hiburan.