Ibu tunggal rugi RM57,300 terpedaya cinta lelaki dari London di Facebook

BUTTERWORTH: Seorang pesara wanita di Sungai Dua di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM57,300 lesap dipercayai akibat diperdaya sindiket Love Scam baru-baru ini.

Mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 55 tahun itu dikatakan terjerat selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya tinggal di London melalui aplikasi media sosial Facebook.



Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah menjalinkan hubungan cinta dengan kekasih di dalam media sosial itu sejak kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, wanita itu telah termakan dengan kata-kata manis suspek yang berjanji akan datang ke Malaysia untuk bertemunya dan akan dikirimkan hadiah sebagai tanda cinta.





“Selepas beberapa hari berikutnya, mangsa dihubungi individu lain yang mendakwa dari pihak kurier yang memaklumkan terdapat bungkusan ditahan di lapangan terbang kerana terdapat banyak wang dolar Amerika Syarikat.

“Mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran bagi membolehkan pihak Kastam melepaskan hadiah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.





Beliau berkata, mangsa yang teruja dan menyangkakan hadiah itu daripada kekasih alam mayanya berkenaan tanpa berfikir panjang menyerahkan sejumlah wang bagi menuntut hadiah berkenaan.

“Mangsa telah membuat sebanyak 10 transaksi memasukkan wang ke dalam dua akaun bank secara berperingkat berjumlah RM57,300.

“Bagaimanapun dia mula menyedari ditipu selepas individu tersebut berterusan memintanya membuat pembayaran selain diugut akan ditangkap pihak Kastam jika tidak berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN