‘Dine-in’ dalam kenderaan tidak dibenarkan

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak membenarkan perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan premis makanan menyediakan perkhidmatan seumpama itu.



“Jadi setakat ini selagi belum ada keputusan atau SOP baharu tentang ini (sediakan perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan) memang tidak bolehlah buat masa sekarang,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan dibenarkan atau sebaliknya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail pada Ahad menegaskan premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ di dalam kereta adalah melanggar SOP.





Jelasnya, tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan layanan sedemikian.

Ia susulan tular di media sosial mengenai inisiatif baharu ‘park-and-dine’ yang menggantikan dine-in di restoran ekoran SOP mengekang penularan Covid-19 di Sarawak.

Menjelaskan lebih lanjut, Nanta berkata, idea untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian kemungkinan timbul kerana memikirkan mereka yang berada di dalam kenderaan adalah satu keluarga dan tinggal di dalam rumah yang sama.

“Jadi, kemungkinanlah idea itu timbul. Tapi buat masa sekarang memang SOP tidak ada mengatakan boleh. Jadi tidak bolehlah,” katanya.




Terdahulu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail memaklumkan tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan servis dine-in di dalam kereta buat para pelanggan.

Hal ini berikutan tindakan berkenaan dikatakan melanggar SOP sekaligus menasihatkan untuk menghentikan servis layanan sedemikian. Difahamkan, setakat ini sudah terdapat sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat lalu kerana menyediakan servis dine-in dalam kenderaan.

Dalam pada itu, sekiranya pembelian makanan secara bungkus atau pandu lalu masih lagi dibenarkan. Dimaklumkan larangan penawaran servis dine-in dalam kereta adalah bertujuan untuk mengawal penularan COVID-19 yang membimbangkan di negeri berkenaan.