3 Jururawat Dikompaun RM 4,000 Langgar SOP

Alor Setar: Tiga jururawat wanita yang bertugas di sebuah hospital swasta di Sungai Petani masing-masing dikompaun RM4,000 malam tadi kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihak polis mengesan mereka yang berusia antara 34 dan 45 tahun itu menyampaikan sumbangan kepada rakan mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

“Hasil soal siasat berpandukan gambar yang tular dalam Facebook, didapati ketiga-tiga mereka tidak mematuhi SOP PKP dan sudah dikeluarkan tindakan kompaun.





“Polis mengesan penama Facebook berkenaan pada 9.10 malam dan penama ini mengaku pergi bersama dua lagi rakannya ke rumah rakan yang memakai ‘gelang pink’ ini di Kampung Pulau Tengah, Sungai Petani. Ketiga-tiga jururawat ini hadir di balai polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.




Adzli berkata kompaun dikeluarkan terhadap jururawat itu mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 (Aktiviti Terlarang Nombor 1).

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam apa jua aktiviti sekali pun termasuk untuk tujuan kebaikan.