Vaksin: Kabinet setuju 50,000 dos untuk Bosnia

ALOR GAJAH: Malaysia bersetuju untuk menyalurkan sebanyak 50,000 dos vaksin Covid-19 kepada negara-negara yang tidak mendapat keutamaan melalui fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) dan lain-lain seperti Bosnia-Herzegovina (Bosnia).

Memaklumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, bantuan secara bilateral itu telah dipersetujui oleh Kabinet melalui satu mesyuarat yang berlangsung semalam.



Beliau berkata, tindakan itu secara jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam membantu negara-negara yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan dos imunisasi berkenaan.

Bagaimanapun, jelasnya, pemberian terbabit tidak akan menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan meskipun dos itu diambil daripada kuota milik negara.

“Apa (vaksin) yang kita terima, kita asingkan sedikit untuk mereka (Bosnia) sebab ia tidak jejaskan peruntukan kita untuk melaksanakan vaksinasi nasional.

“Sebab kita akan terus menerima vaksin-vaksin tertentu untuk memenuhi atau mencapai matlamat sasaran itu sendiri.





“Bosnia negara yang memohon dan kita telah bersetuju, kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan itu kepada negara Bosnia,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Bandaran Alor Gajah di sini, hari ini.

Pada Februari lalu, Bosnia dilaporkan akan menyaman Covax jika negara itu tidak menerima vaksin berkenaan seperti yang dijadualkan.

Anggota Presidensi Multi-Etniknya, Milorad Dodik berkata, negara Balkan itu telah melakukan semua persediaan bagi menyambut ketibaan 1.2 juta dos vaksin berkenaan.





Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan jenis vaksin yang akan dihantar kepada Bosnia, Mohd. Redzuan berkata, ia masih belum diputuskan kerana perlu mengambil kira kemampuan logistik negara itu terlebih dahulu.

Jelasnya, mekanisme penghantaran bantuan akan dilakukan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan.

“Mungkin vaksin Pfizer-BioNTech yang kita akan hantar ke sana, itupun mengikut kemampuan mereka. Kalau kita lihat Pfizer ini penyusunan logistik yang tertentu.

“Bukan semudah itu, kita tidak mahu membebankan negara penerima dengan memberi vaksin yang memerlukan logistik khusus dan sebagainya,” jelasnya.- UTUSAN