Suspek bakar rumah ditahan ganggu bomba padam kebakaran

JOHOR BAHRU – [DIKEMASKINI] Pasukan bomba yang sedang melakukan kerja pemadaman terpaksa menahan seorang lelaki warga emas yang cuba menutup injap air jentera dalam kejadian di Taman Pelangi di sini pada malam Khamis.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.10 tengah malam, sebelum anggota daripada BBP Larkin dan BBP Tebrau dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis kekal berkeluasan 6×18 meter setiap satu.

“Kita telah melakukan kerja pemadaman api dengan menggunakan empat pancutan sumber air daripada pam jentera.

“Bagaimanapun, ketika penghujung kerja memadamkan kebakaran itu, seorang lelaki berusia 65 tahun dan dipercayai penagih dadah muncul serta cuba mengganggu pihak bomba dengan cuba menutup injap air di jentera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.





Beliau berkata, pihaknya terpaksa menahan lelaki itu kerana mengganggu anggota menjalankan tugas.

“Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada anggota polis yang hadir di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Balai Polis Taman Pelangi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian kebakaran itu, beliau berkata, kebakaran itu telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah pertama dan 10 peratus rumah kedua.

Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 1.44 pagi setelah bomba memastikan keadaan benar-benar selamat.





Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzil Mohd Zain berkata, pihaknya telah menahan lelaki berkenaan, yang juga penyewa rumah tersebut dan disyaki membakar rumah itu.

Jelasnya, soal siasat lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca serta motif kejadian.

“Saksi-saksi bebas akan dikesan bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasi awal di bawah Sek 436 Kanun Keseksaan/25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara 1959,” katanya. Sinar harian