Suntikan vaksin Pfizer mungkin perlu dos ketiga

WASHINGTON: Suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 mungkin diperlukan dalam tempoh setahun selepas menjalani inokulasi.

Ketua Pengarah Operasi Pfizer, Albert Bourla, berkata vaksinasi tahunan untuk melawan coronavirus juga mungkin diperlukan.



“Kami perlu melihat apa langkah seterusnya dan bila tiba masanya, kita akan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Senario yang ada sekarang menunjukkan kemungkinan dos ketiga diperlukan antara antara enam hingga 12 bulan selepas dos terakhir.




“Malah, vaksinasi bagi COVID-19 juga mungkin perlu dilakukan setiap tahun kerana adalah penting untuk memastikan ramai orang rentan virus itu,” katanya dalam temubual bersama CNBC.

Saintis ketika ini masih belum pasti, sejauh mana vaksin COVID-19 memberi ketahanan menentang coronavirus.





Pfizer pada awal bulan ini menerbitkan satu kajian mengatakan suntikan vaksin itu berkesan sehingga 91 peratus untuk melindungi daripada virus.

Ia juga lebih 95 peratus berkesan mengatasi komplikasi teruk akibat COVID-19 sehingga enam bulan selepas suntikan kedua dilakukan, namun perlu dikaji lebih lanjut.

Vaksin Pfizer, yang dibangunkan dengan kerjasama BioNTech, ketika ini memainkan peranan utama dalam kempen vaksinasi di AS dan Eropah.

Syarikat farmaseutikal gergasi itu pada Februari lalu mengumumkan, mereka sedang menguji dos ketiga vaksin itu menambah keberkesanan melawan varian baharu. – AFP