Budak perempuan maut akibat ditinggal dalam kereta

Johor Bahru: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam di dalam kereta oleh neneknya di Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) mengenai kes ‘Brought In Death’ membabitkan kematian seorang kanak-kanak berumur 3 tahun pada 6.41 petang.




Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pada hari sama, nenek mangsa berusia 59 tahun membawa mangsa bersama kakaknya ke sekolah di sekitar Sungai Tiram lebih kurang 1 tengah hari dengan menaiki kenderaan Perodua Alza.

Menurutnya, mangsa kemudian ditinggalkan di dalam kereta di rumahnya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram tanpa disedari nenek mangsa dan enjin kereta turut dimatikan.





“Pada 6 petang, ibu mangsa menyedari mangsa tiada di dalam rumah dan telah mencari di sekitar kawasan rumah namun tidak menjumpai.

“Nenek mangsa kemudiannya mula menyedari mangsa berada di dalam kereta dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri di lantai bawah tempat duduk belakang.

“Hasil bedah siasat doktor di HSI pada Isnin mendapati keadaan tubuh badan mangsa adalah sihat dan tiada sebarang kesan lebam atau luka akibat didera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.





Beliau berkata, doktor mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan ‘Heat Stroke Due To Vehicular Entrapment’ iaitu strok haba akibat terperangkap di dalam kenderaan.

Menurutnya, kes disiasat menurut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.