Azab tercucuk ‘tongkat’ motosikal

Kulim: Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira lima minit untuk membantu menyelamatkan kaki kanan seorang remaja perempuan yang tercucuk pada ‘tongkat’ motosikal.

Kejadian yang dipercayai berlaku 6.40 petang hari ini selepas motosikal yang ditunggangi remaja berusia 13 tahun itu terbabas di Taman Harmoni, di sini, hari ini.



Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.47 petang tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim tiba di lokasi pada 6.51 petang.





“Operasi disertai sembilan anggota bersama dua jentera diketuai Chandran Krishnan dan dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setibanya jentera dan anggota di lokasi kejadian mendapati kaki kanan remaja perempuan berusia 13 tahun tercucuk pada tongkat motosikal ditunggangnya yang terbabas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.




Mohamadul Ehsan berkata, rawatan awal diberikan oleh paramedik dari KKM yang tiba di lokasi.

Beliau berkata, anggotanya bertindak memotong tongkat terbabit menggunakan peralatan cicular disc saw sebelum menyerahkan mangsa kepada ambulans KKM untuk dibawa ke Hospital Kulim.

“Operasi tamat pada 7.05 malam,” katanya.