Ahli perniagaan pukul pengawal peribadi direman hingga Sabtu

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan yang terbabit dalam kejadian memukul pengawal peribadi dan rakannya direman sehingga Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, permohonan reman dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.



“Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan 8.20 malam tadi di ibu kota hasil risikan polis susulan laporan dibuat mangsa.

“Siasatan berhubung kes berkenaan akan diteruskan,” katanya.




Semalam, dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.

Mangsa juga diugut menggunakan pistol dan dihina dengan kata-kata kesat seperti “U mahu ikut Allah atau mahu ikut saya? Tengok dia boleh kasi u gaji ke?”




Kejadian itu turut tular di media sosial dan masyarakat mahu keadilan yang setimpal terhadap mangsa.

Susulan itu, polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikannya seperti tular di media sosial.