Addy Kanna, dua anggota polis dibebas daripada tahanan POCA

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan pada Selasa memerintahkan ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kanna’ dan dua anggota polis yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian dibebaskan dengan serta-merta.



Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka terhadap permohonan writ habeas corpus.

Empat lagi hakim yang merupakan ahli panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.





Zaidi, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd Hairy Mohammad yang berusia antara 35 hingga 40 tahun merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan permohonan writ habeas corpus mereka supaya dibebaskan dengan serta-merta.

Tengku Maimun bersetuju responden terdiri daripada mahkamah majistret, ketua polis negara, kerajaan dan Asistan Superintenden Khairul Fairoz Rodzuan tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk menjustifikasi kesahan penahanan ketiga-tiga mereka.





“Rayuan dibenarkan, perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan permohonan writ habeas corpus perayu (Addy Kana dan dua lagi) dibenarkan. Justeru, dengan perintah setiap perayu dibebaskan daripada tahanan serta-merta,” kata Hakim Tengku Maimun.