Usaha apung kapal kontena tersekat di terusan suez gagal

Kaherah: Usaha mengapungkan kapal kontena, MV Ever Given, yang menghalang Terusan Suez di Mesir gagal memaksa banyak syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan penting kapal dagang di sekitar Afrika.

MV Ever Given, yang lebih panjang daripada empat padang bola sepak tersekat secara menyerong merintangi terusan itu sejak Selasa lalu sehingga menutup laluan air kedua-dua arah.



“Percubaan untuk mengapungkan kapal lebih awal hari ini … tidak berjaya,” kata Bernhard Schulte Shipmanagement (BSM) yang berpangkalan di Singapura dalam satu kenyataan.

Halangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang besar untuk lebih 200 kapal di kedua-dua hujung terusan sepanjang 193 kilometer dan mengganggu penghantaran minyak dan produk lain.





Ia mengatakan Smit Salvage, sebuah firma Belanda yang mengusahakan beberapa bangkai kapal paling terkenal sejak kebelakangan ini, mengesahkan akan ada “dua kapal tunda” yang akan tiba pada hari Ahad untuk membantu.

“Tidak ada laporan mengenai pencemaran atau kerosakan kargo dan siasatan awal mendapati kerosakan mekanikal atau mesin sebagai penyebab kapal kontena ini tersangkut”, kata BSM.

Katanya, kapal tunda dan korek digunakan untuk menghancurkan batu dalam usaha mengapungkan kapal itu.

Sepanjang malam, petugas menggunakan mesin pengorek sambil dibantu penggunaan lampu limpah.

Bagaimanapun, kapal dengan berat kasar 219,000 tan dan berat muatan 199,000 tan itu belum bergerak, memaksa syarikat gergasi perkapalan global Maersk dan Hapag-Lloyd dari Jerman mengubah laluan sekitar hujung benua Afrika.





Menurut syarikat data dan berita perkapalan, Terusan Suez dijangka tersekat sekurang-kurangnya satu atau dua hari lagi.

Sementara itu Usaha mengalihkan kapal kontena gergasi, MV Ever Given berukuran lebih panjang daripada saiz empat padang bola sepak yang menghalang laluan di Terusan Suez sejak Selasa lalu kini bergantung kepada keadaan air pasang.

Pemiliknya, Shoei Kisen yang berpusat di Jepun berharap operasi itu dapat dilakukan pada akhir minggu ini berikutan insiden itu memaksa syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran mencari laluan alternatif.

“Tiada sebarang masalah dengan kipas dan kemudi kapal tersebut. Ia boleh beroperasi seperti biasa apabila berjaya diapungkan. Pekerja sedang mempergiat usaha membersihkan sedimen dengan alatan pengorek.

Pengurus teknikal kapal itu, Bernhard Schulte Shipmanagement (BSM) menjelaskan fokus sekarang adalah untuk mengorek pasir dan lumpur pada bahagian lengkungan kapal tersebut selepas pelbagai usaha gagal mengapungkan MV Ever Given.