Suspek kes pecah rumah dikejar orang kampung ditemukan lemas

Kangar: Lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah ditemukan lemas hari ini selepas terjun ke dalam sungai bagi melarikan diri ketika dikejar penduduk kampung di Kampung Paloh, Arau, semalam.



Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam kejadian 3.50 pagi itu, suspek berusia 33 tahun terbabit nekad terjun ke dalam sungai berkenaan sebelum dilaporkan hilang daripada pandangan orang awam yang mengejarnya.

“Mayatnya ditemukan di dasar sungai oleh penyelam Unit Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 11.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

“Mangsa didapati tidak timbul selepas itu dan dipercayai lemas. Mangsa yang berasal dari Kampung Kuala Sungai Yan, Kedah itu ditemukan tersangkut di dasar sungai.





“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.38 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dimulakan dengan kaedah pencarian di permukaan air sementara menunggu waktu siang atas faktor keselamatan.




“Pada pukul 10 pagi Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) tiba dan penyelam mula mencari mangsa kira-kira 30 minit sebelum mangsa akhirnya ditemukan pada pukul 11.36 pagi.

“Mangsa ditemukan tersangkut di dasar sungai kira-kira 20 meter daripada lokasi dia terjun. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.