Polis tahan lima suspek kes merusuh di restoran

Kuala Lumpur: Polis menahan lima lagi lelaki yang dipercayai terbabit dengan insiden rusuhan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar berkata, lima suspek berkenaan ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang bermula malam tadi hingga awal pagi hari ini.



“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 23 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Besi, jam 11.15 malam, manakala suspek kedua berusia 22 tahun ditahan pada 1.21 pagi di Taman Cempaka, Ampang, Selangor.

“Dalam tangkapan ketiga pula, kami menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di Jalan San Peng, jam 1.31 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.





Annuar berkata, suspek keempat dan kelima masing-masing berusia 22 dan 19 tahun ditahan di tepi Jalan Travers Off Jalan Selangor, di sini, selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan masing-masing pada 1.37 pagi serta 2.26 pagi.

“Semakan mendapati semua suspek terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan tiga daripada 11 individu yang dipercayai terbabit dengan insiden rusuhan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan ditahan dalam serbuan di sekitar ibu negara.





Terdahulu, melaporkan sekumpulan lelaki membuat kecoh di sebuah restoran berkenaan dengan membaling kerusi dan meja.

Tindakan kumpulan berkenaan yang dilihat mengamuk itu turut tular di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan rakaman video yang ditularkan, beberapa lelaki dilihat membaling kerusi dan meja milik restoran berkenaan.

Kumpulan itu juga dilihat seakan-akan bergaduh dipercayai dengan pekerja restoran itu.