Naib Presiden Nike Letak Jawatan Selepas Terpalit Skandal Bisnes ‘Reseller’ Milik Anaknya

Nike semalam telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Naib Presiden serta Pengurus Besar untuk kawasan Amerika Utara, Ann Hebert telah meninggalkan syarikat itu berkuat kuasa serta merta.



Ann telah berkhidmat lebih 25 tahun bersama Nike dan Nike sedang mencari calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ann.

Keputusan tersebut dibuat selepas sebuah artikel yang dikeluarkan Bloomberg Businessweek berkenaan bisnes reselling yang dikendalikan oleh anaknya yang berusia 19 tahun, Joe.




Dalam temu bual itu, Joe mengaku menggunakan kad kredit milik ibunya untuk membeli sebahagian besar stok untuk bisnes beliau, West Coast Streetwear. Beliau berkata, beliau sudah membelanjakan lebih USD100,000 (+~RM400,000) untuk membeli stok kasut edisi terhad dan menjualnya kembali untuk keuntungan berganda.

Pembelian kasut dalam skala besar itu juga dilakukan Joe dengan bantuan sneakers bot, taktik ‘kotor’ dan tidak adil dalam membeli kasut edisi terhad secara dalam talian.





“Nike tidak membenarkan pekerja bersubahat dalam apa pun aktiviti reselling. Kegiatan membeli kasut pada harga pasaran dan menjual pada harga lebih tinggi adalah sesuatu yang tidak adil kepada para pengumpul,” kenyataan daripada Nike.

Pendedahan ini merupakan sesuatu yang mengejutkan apabila seorang yang berkuasa dalam Nike menjadi salah seorang funder untuk kegiatan reselling. Diharap kegiatan ini dapat dihapuskan supaya semua dapat membeli kasut idaman mereka dengan adil. – Vocket