Lelaki tayang filem di Telegram ditahan KPDNHEP

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang lelaki selepas disyaki menyiarkan karya filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta melalui aplikasi Telegram di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, lelaki terbabit ditahan dalam serbuan bersama pemilik hak cipta di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan hasil risikan kira-kira dua minggu dan maklumat daripada pemilik hak cipta.



Menurutnya, lelaki berusia 45 tahun itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

“KPDNHEP turut merampas beberapa barang milik suspek termasuk peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5,000,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.





KPDNHEP turut merampas beberapa barang milik suspek termasuk peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5,000.
Beliau berkata, jika sabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi atau mengedarkan mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya di mana-mana medium internet termasuk melalui media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.





“Pihak kementerian memandang serius perlakuan ini walaupun ianya hanya dibuat sekadar untuk tujuan keseronokan sahaja.

“Pengguna juga disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif,” katanya.