Kastam tumpas kartel antarabangsa, rampas dadah RM5.2 bilion

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa melibatkan pil captagon terbesar bernilai RM5.2 bilion, pada 15 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir berkata, hasil pembongkaran ini, pihaknya berjaya menjumpai 94.8 juta pil captagon disyaki mengandungi dadah jenis amphetamine dengan berat kasar anggaran 16 tan yang disorokkan di dalam roda troli.



Katanya, maklumat perisikan diperoleh daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin lalu, lebih kurang jam 4 petang.

Dadah yang disorok di dalam roda troli yang dirampas JKDM di Pelabuhan Klang, Selangor pada Isnin lalu.





“Melalui perkongsian maklumat perisikan ini, pasukan JKDM Cawangan Narkotik telah menyita tiga kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang, Selangor dan menjumpai beberapa kotak berisi roda troli yang mengandungi dadah.

“Hasil siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut tiba dari sebuah negara di Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur, dan Malaysia merupakan tempat transit sebelum kontena itu dihantar ke negara ketiga,” katanya pada sidang akhbar rampasan dadah terbesar Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kampung Jijan, Nilai dekat sini pada Selasa.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihaknya sedang meneliti semua dokumen bagi mengesan pihak terlibat.





Kata Abdul Latif, kejayaan hasil kerjasama keselamatan ini dianggap sebagai salah satu kejayaan terbesar dalam memerangi kartel dadah antarabangsa.

Abdul Latif pada sidang akhbar rampasan dadah terbesar JKDM di Kampung Jijan, Nilai pada Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

JKDM berharap orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau buat laporan di pejabat kastam berdekatan di semua negeri.