Wanita dipenjara kerana dera rakan hingga hampir maut

Singapura: SEORANG wanita berusia 34 tahun menjadi orang kelima dalam keluarganya yang dihukum penjara atas kesalahan terhadap rakan kurang daya intelek yang dilayan bak hamba dan didera secara fizikal sehingga temannya itu hampir maut.

Haslinda Ismail dihukum penjara lapan setengah tahun semalam setelah mengaku bersalah bulan lalu atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja dan satu tuduhan memintal jari kaki mangsa menggunakan playar sehingga ia patah.



Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin $30,000 dan akan menyerah diri di Makamah Negara pada 1 Mac untuk memulakan hukumannya.

Haslinda telah menyimbah air panas ke atas mangsa itu, kini 30 tahun, hingga perut, paha dan selangkang (groin) mangsa melecur.

Dia juga menggunakan tukul untuk memukul mulut mangsa hingga menyebabkannya kehilangan gigi.

Dalam kejadian berasingan, Haslinda membuang air kecil ke dalam peket hor fun dan memaksa mangsa memakan makanan itu.





Mangsa yang sedang kelaparan, mengikut sahaja perintahnya, lapor The Straits Times.

Pihak pendakwa raya telah meminta hukuman penjara sembilan setengah tahun kerana mengambil kira peranan Haslinda dalam perbuatan penderaaan terhadap mangsa.

Haslinda telah menyalahgunakan kepercayaan dan kuasanya dengan melakukan keganasan yang tidak sepatutnya selain melayan mangsa dalam cara yang merendahkan maruahnya, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam.

Pihak pendakwa tidak meminta perintah pampasan kerana Haslinda dinilai tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membuat bayaran, tambahnya.

Kakak Haslinda, Hasniza Ismail, 40 tahun, yang melakukan perbuatan seperti mengikat mangsa ke plat logam yang dipasang di dinding dan menghentaknya dengan kayu besbol, dihukum penjara tiga tahun Isnin lalu.

Dia juga diarah membayar pampasan $1,000 kepada mangsa.

Dua adik-beradik lelaki mereka, Muhammad Iskandar Ismail, 32 tahun, dan Muhammad Iski Ismail, 30 tahun, masing-masing dihukum penjara pada 7 Januari lalu selama dua bulan dan empat minggu, dan lapan bulan.

Tahun lalu, suami Haslinda dari Mesir, Hany Aboubakr Abdelkarim Abdelfattah, 33 tahun, dihukum penjara tiga minggu setelah mengaku bersalah menyerang mangsa.




Ibu keempat-empat beradik itu, Hasmah Sulong, 70 tahun, juga dituduh terlibat menyeksa mangsa dan kesnya masih belum selesai.

Mangsa merupakan rakan sekolah menengah adik Haslinda, Encik Muhammad Isafi Ismail.

Beliau mengenali ahli keluarganya yang lain dan menjadi rapat dengan mereka.

Antara Mei dengan Jun 2016, Haslinda bersemuka dengan mangsa kerana melakukan perbuatan seksual terhadap suaminya.

Mangsa kemudian didera berulang kali oleh beberapa anggota keluarga selama lebih setahun sehingga beliau akhirnya dibawa ke hospital pada Januari 2018.

Beliau berhenti bekerja di restoran makanan segera dan diarah untuk melakukan kerja rumah tanpa bayaran setelah Haslinda mengambil telefon bimbitnya pada Jun 2016.

Dari situ, beberapa anggota keluarga itu mendera mangsa secara berulang kali. – BH