Pendaftaran vaksinasi Covid-19 dibuka hingga capai sasaran

Sepang: Pendaftaran untuk vaksinasi Covid-19 tidak akan ditamatkan sehingga mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.



“Pendaftaran akan sentiasa dibuka dan tidak akan ditutup sehingga selesai sasaran kita iaitu 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia (menerima vaksin),” kata beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh digunakan orang awam untuk mendaftarkan diri, selain pihaknya juga akan mengenal pasti kumpulan sasar bagi memastikan mereka memperoleh vaksinasi itu.

Sementara itu, mengenai status vaksin lain yang akan diterima negara, Khairy berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai vaksin berkenaan sebelum diluluskan.





“Contohnya bagi vaksin Sputnik V, (NPRA) telah meminta maklumat tambahan daripada Duopharma Biotech Bhd dan Gamaleya National Research Institute of Epidemiology and Microbiology, Rusia.

“Saya jamin, NPRA sedang melakukan yang terbaik untuk menyegerakan proses kelulusan peraturan bagi vaksin yang lain,” katanya.

Khairy berkata, vaksin Sinovac dijadual tiba pada 27 Februari ini, namun ia masih menunggu kelulusan NPRA, manakala vaksin AstraZeneca dijadual tiba Mac ini.




Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19.

Ia termasuk vaksin dua dos merangkumi vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) serta CanSinoBIO, dan vaksin satu dos daripada Sputnik V.

Selain itu, kerajaan juga dijangka menandatangani kontrak pemerolehan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat.