Kerat jantung jiran, masak dengan kentang

Washington: Lelaki yang didakwa terbabit tiga kes bunuh di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) dipercayai memotong jantung seorang mangsa wanita dibunuhnya sebelum memasaknya dengan kentang.


Malah, lelaki itu menghidangkan makanan itu kepada individu yang menjadi mangsa berikutnya, lapor media negara itu pada Rabu.

Suspek, Lawrence Paul Anderson, dipercayai mengeluarkan organ itu daripada jiran yang ditikam sehingga mati, menurut Oklahoma City News 4 TV dan akhbar di Oklahoma.





Dia dikatakan membawa jantung itu ke rumah pak ciknya sebelum memasak organ itu dan menghidangkan masakan itu kepada lelaki berkenaan dan isteri, pasukan penyiasat memberitahu Mahkamah Grady County di Chickasha, pada Selasa.

Anderson kemudian dipercayai membunuh pak ciknya itu dan cucu lelaki itu yang berusia empat tahun, di samping mencederakan si isteri, pada kejadian 9 Februari lalu.





“Dia memasak jantung itu dengan kentang untuk diberi makan kepada keluarga berkenaan untuk ‘mengusir syaitan’, kata seorang ejen dalam waran pencarian yang dikemukakan di mahkamah.

Jenayah itu dilakukan Anderson dalam tempoh beberapa minggu selepas dia dibebaskan daripada penjara.

Dia sebelum itu menjalani hukuman penjara 20 tahun pada 2017 atas pertuduhan berkaitan dadah.

Anderson mengaku salah atas pertuduhan berkenaan ketika prosiding di mahkamah pada Selasa lalu, menurut laporan berkenaan.