Kembali ke pangkuan keluarga selepas 30 tahun terkandas di Sibu

Labuan: Wanita berusia 70 tahun yang terkandas lebih 30 tahun di Sarawak akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di sini, hari ini dengan bantuan satu operasi belas ihsan.

Wanita itu yang dikenali pasti sebagai Salmah Adeh berasal dari Labuan, meninggalkan kampung halamannya 32 tahun lalu demi kehidupan lebih baik di beberapa daerah di Sarawak sebelum berpindah ke Sibu, Sarawak namun nasib tidak menyebelahinya kerana selepas itu, dia terpaksa hidup merempat.


Ahli keluarga Salmah di Labuan melakukan segala yang terdaya untuk mengesannya namun tiada siapa yang tahu di mana dia berada.

Keadaan hidup Salmah semakin memburuk selepas menjadi mangsa ragut di Sibu dan dia kehilangan kad pengenalan serta wang tunai yang disimpan di dompetnya.

Semasa berada di Sibu, dia bekerja dengan seorang penjual di sebuah pasar di Sibu dan mempunyai tempat untuk berteduh namun selepas majikan yang dipanggil ‘hajah’ meninggal dunia, Salmah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat.





Demi meneruskan kehidupan dan mengisi perutnya, Salmah kemudian membantu penjual sayur di pasar kering serta tidur di kaki lima setiap hari selama lebih 20 tahun.

Pada 8 Januari lalu, dia dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan selepas ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh seorang insan yang baik hati.

Koresponden Bernama di Sibu kemudian menyiarkan kemelut hidup warga emas itu pada Februari dan berjaya menjejaki anak saudara lelakinya, Zamain Ma’in di Labuan yang kemudian melakukan usaha untuk membawa Salmah pulang ke tempat asal wanita itu namun menemui jalan buntu susulan sekatan pergerakan rentas negeri akibat penularan pandemik Covid-19.





Bagaimanapun, sebuah badan bukan kerajaan Persatuan Amal Kebajikan Insan Sarawak (PAKIS) serta Jabatan Kebajikan di Sibu dan Lawas yang memulakan usaha untuk menghantar Salmah pulang ke pangkuan keluarga serta bertemu semula anak perempuannya Noredah Saman, 47.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Labuan, Rithuan Ismail berkata, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan dari Jabatan Penyelamat dan Bomba, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin Labuan yang terbabit dalam operasi belas ihsan itu.

Noredah berkata, ketika berpisah dengan ibunya yang berhijrah ke Sarawak untuk mencari rezeki, dia berusia 15 tahun.