Ibu Yati

Ibu Yati dipanggil JAIS

SHAH ALAM: Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memanggil Wan Norhayati Wan Alias bagi membantu siasatan berhubung dengan ajaran sesat Agama Melayu.

Mengesahkan perkara itu, Wan Norhayati atau dikenali sebagai Ibu Yati berkata, pihaknya telah hadir ke JAIS pada pukul 10.15 pagi tadi.



“Saya bersama dengan Bahagian Penyelidikan sehingga pukul 1 petang. Antara yang saya maklumkan kepada mereka ialah hanya melakukan kajian mengenai sejarah Melayu sahaja.

“Kajian dilakukan pada Disember tahun lalu dan saya telah letakkan di dalam YouTube tetapi telah diambil dan disunting menjadi video. Mana-mana pihak tidak seharusnya terus menjatuhkan hukum salah dan sesat namun pada masa sama kajian berkenaannya sedang dijalankan,” katanya.




Wan Norhayati berkata, dia terbuka sekiranya terdapat mana-mana pihak ingin berdebat dengannya berhubung perkara tersebut.

Malah katanya, dia juga meminta supaya Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan secara terbuka membuktikan tindakan menuduhnya sesat adalah benar.

“Saya kini telah membuat tiga laporan polis iaitu terhadap Yadim, ugutan bunuh dan netizen di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berhubung perkara ini.





“Sekiranya Yadim tidak mengambil tindakan berhubung perkara ini, saya tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman kerana melibatkan reputasi diri,” katanya. – UTUSAN