Guru wanita kerugian RM115,000 ditipu sindiket Macau Scam

ALOR SETAR: Seorang guru wanita kerugian RM115,000 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai tunggakan cukai terhadap syarikat mangsa.

Mangsa berusia 41 tahun yang sudah berkahwin dan berasal dari Selama, Perak itu menerima panggilan telefon dari individu berkenaan pada 7 Februari lalu.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata mangsa pada mulanya menafikan berhubung cukai berkenaan namun panggilan itu disambungkan kepada seorang individu lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat semakan.

Beliau berkata, panggilan itu kemudian disambung pula kepada seorang pegawai polis berpangkat Datuk dari IPK Pahang kononnya pegawai atasan kepada Inspektor berkenaan.





“Suspek meminta mangsa membuka aplikasi WhatsApp sebelum mangsa menerima satu mesej dengan notis yang mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Pada 8 Februari lalu, mangsa diarahkan membuat pinjaman peribadi dari bank kerana mangsa perlu ada kewangan yang kukuh dalam akaun bank miliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian membuat permohonan Bank Rakyat sebanyak RM133,080.90.

Katanya, mangsa kemudian diarahkan untuk membuka pautan perisian yang diberikan untuk memuat naik aplikasi MyBNM untuk mengisi maklumat peribadi mangsa dan maklumat perbankan untuk siasatan lanjut.





“Mangsa tanpa membuat semakan terus memuat naik aplikasi berkenaan dan mengisi butiran peribadi serta butiran perbankan miliknya.

“Pada 15 Februari lalu, wang pinjaman sebanyak RM133,080.90 mangsa dikreditkan ke dalam akaun Bank Rakyat miliknya dan mangsa menghubungi suspek untuk memberitahu mengenai perkara itu,” katanya.

Elias berkata, pada 16 Februari lalu, mangsa cuba untuk log masuk ke dalam perbankan atas talian miliknya dan mendapati ia sudah disekat.

Beliau berkata, mangsa terus menghubungi pihak khidmat pelanggan dan diberitahu terdapat transaksi pindahan wang dari akaun mangsa ketiga yang berbeza berjumlah RM115,000.

“Berikutan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kulim pada 17 Februari lalu (semalam) dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai tidak memuat naik sebarang aplikasi tidak sah serta mendedahkan maklumat peribadi dan maklumat perbankan. – Berita Harian