Gelaran Datuk kepada Farid Kamil, Boy Iman ditarik balik

KUANTAN – [DIKEMASKINI] Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada pelakon,Farid Kamil Zahari,39 dan Nuroliman A Rahman atau Boy Iman, 41 ditarik balik dan dibatalkan serta merta.


Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pendaftar Darjah, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu atas titah Yang di Pertuan Agong selaku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, penarikan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada dua pelakon itu berkuatkuasa dari tarikh surat penarikkan darjah kebesaran itu pada 1 Februari lalu.




“Penarikan darjah kebesaran (DIMP) itu turut melibatkan tiga penerima lain,, Wong Shee Kai @ Ricky, Tran Thi Mai @ Maimunah dan pemimpin sebuah NGO, Syed Mohammad Faiz Syed Azemman,” katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Dr Sallehuddin berkata, individu tersebut tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah – Darjah Kebesaran dan Bintang – Bintang Negeri Pahang.




Farid Kamil dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar Pekan pada Disember 2017 manakala Boy Iman menerima darjah kebesaran itu pada Mac tahun yang sama.

Pada 13 Mac 2019, Istana Pahang menarik balik dan membatalkan anugerah Darjah Kebesaran membawa gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada seorang ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Penarikan balik darjah kebesaran Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah yang Yang Amat Mulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) itu dikurniakan di Istana Pahang, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 19 Mac 2014.