Dijemput ajal di atas pokok

Kota Bharu: Seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri di atas pokok setinggi tujuh meter di Taman Sri Ayu, Tanjong Mas, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mangsa, Zakaria Adam, 62, kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk pemeriksaan lanjut.




Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Rosli Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 pagi dan jentera sampai ke lokasi kejadian lapan minit kemudian.

Menurutnya, tujuh anggota dari BBP Pengkalan Chepa dikerahkan ke lokasi kejadian dan mangsa diberikan rawatan awal, namun tiada tindak balas.

“Ketika kejadian mangsa baru memanjat pokok sebelum memulakan kerja menebang pokok, namun dua rakannya yang berada di bawah melihat mangsa tidak sedarkan diri.

“Dua rakannya cuba memanggil mangsa beberapa kali, namun tiada sahutan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada tuan rumah yang mengupah mereka untuk menebang pokok.





“Tuan rumah kemudiannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi membawa turun mangsa ke bawah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke HRPZ II untuk diperiksa namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Pok Mat, 71, rakan kepada arwah ketika kejadian mendakwa arwah mengerang sebanyak dua kali sebaik sampai ke atas pokok sebelum tidak sedarkan diri dan kepalanya terkulai ke bawah.

Menurutnya, dia beberapa kali dia cuba memanggil Zakaria atau mesra disapa Pok Ya, sambil menyuruh arwah mengucap dua kalimah syahadah, namun panggilannya tidak dijawab oleh arwah.




“Pada ketika itu, arwah berada di celah pokok dan saya menyangka dia hanya pengsan sebelum secara tiba-tiba kepalanya terkulai ke bawah dan hati saya mula berasa tidak sedap.

“Bimbang dengan keadaan arwah masih berada di atas pokok, saya memberitahu pemilik rumah yang mengupah kami untuk menebang pokok supaya menghubungi bomba kerana dikhuatiri arwah akan terjatuh dari ketinggian tujuh meter,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Limau Manis, di sini, hari ini. – Harian Metro