10 individu makan semeja kena kompaun

Shah Alam: 10 individu dikompaun selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di sebuah restoran di Seksyen 13, di sini, semalam.



Pemeriksaan mendapati 10 individu berusia 18 hingga 22 itu didapati makan di satu meja yang sama, yang mana hanya dua orang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya ke restoran berkenaan pada 9.25 malam selepas mendapat maklumat berkaitan pelanggan restoran yang melanggar SOP.





“Hasil pemantauan kita mendapati pelanggan berada di satu meja dengan bilangan 10 orang.

“Pelanggan berkenaan berkumpul dengan tidak mematuhi SOP PKP 2.0.

Justeru, kompaun dikeluarkan ke atas 10 individu terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.




Beliau berkata, pengurus restoran iaitu seorang lelaki Bangladesh berusia 35 tahun turut ditahan kerana tiada permit kerja yang sah.

Katanya, pemilik restoran berkenaan yang berada di Port Dickson, Negeri Sembilan sudah diarah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, jelasnya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga mengesahkan premis berkenaan beroperasi tanpa lesen yang sah.