VIDEO Cederakan pekerja stesen minyak, penunda kenderaan dipenjara tiga bulan

JELEBU: Penunda kenderaan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Jelebu, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul pekerja stesen minyak di Taman Sri Chempedak, Kuala Klawang, Disember lalu.



Majistret, Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Hidir Malik, 38, dari Titi, Jelebu selepas dia mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pada jam 4.30 petang, 19 Disember lalu, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad Aiman Nasir Abdullah, 20, dengan menggunakan topi keledar.





Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke stesen minyak bagi mengisi minyak motosikal.

Bagaimanapun sedikit minyak tertumpah pada motosikal menyebabkan tertuduh memarahi pengadu dan kemudian memukulnya menggunakan topi keledar di kepala sebanyak satu kali.





Tertuduh turut memukul pengadu menggunakan tangan pada bahagian muka sebanyak satu kali sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Pada 4 Januari lalu, Utusan Online melaporkan pihak polis berjaya menangkap lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes mencederakan pembantu sebuah stesen minyak di Taman Sri Cempedak, Kuala Klawang dengan rakaman video kejadian tersebut turut tular di media sosial.-UTUSAN