Ugut bunuh dakwa adik kelihatan seperti jin

KEPALA BATAS: Polis menahan seorang pesawah selepas bertindak mengugut mahu membunuh dua adik perempuannya dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Lembah Raja Pinang Tunggal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, dua adik perempuan suspek terkejut apabila didatangi abangnya berusia 37 tahun yang tiba-tiba mengamuk dengan memegang sebatang besi panjang berukuran 122 sentimeter (sm).



Suspek kemudian bertindak mengetuk dinding dan menendang pintu rumah dengan mengugut dua adik perempuannya supaya keluar kerana mahu membunuh mangsa dengan mendakwa mereka kelihatan seperti ‘jin’.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kedua-dua mangsa ketakutan kemudian menyelamatkan diri dengan keluar di belakang pintu rumah sebelum menghubungi polis.

“Polis ke lokasi kejadian untuk membuat tangkapan dan suspek berjaya ditahan pada jam 8.30 malam.





“Peralatan digunakan suspek dalam kejadian itu turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Siasatan ke atas mangsa memaklumkan mereka berdua sedang bersembang ternampak abang mereka bercakap seorang diri di tepi jalan berdekatan rumah.

“Mereka berdua tidak menghiraukan suspek kerana sejak dua ke tiga minggu lalu suspek selalu berkelakuan sedemikian kerana masalah dadah.





“Bagaimanapun secara tiba-tiba suspek datang ke arah mereka berdua dengan memegang besi panjang sebelum kedua-duanya melarikan diri ke dalam rumah dan mengunci pintu dari dalam, namun disebabkan ketakutan selepas diugut mereka keluar melalui pintu belakang dan menghubungi polis,” katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.