Saya menyesal tak pakai pelitup muka

New York: Seorang lelaki yang juga antipelitup muka di Amerika Syarikat (AS) akhirnya dijangkiti Covid-19 dan kini dirawat di hospital dengan bantuan alat pernafasan.

New York Post melaporkan, Chuck Stacey, 50, berkongsi keadaannya itu menerusi satu hantaran video di Facebook (FB) dengan menyatakan pandangannya bahawa Covid-19 adalah selesema biasa.



“Saya tidak memakai pelitup muka sedangkan ia perlu.

“Awalnya saya yakin yang Covid-19 cuma selesema dan permainan politik saja jadi saya abaikan pemakaian pelitup muka.

“Kamu tidak mahu berakhir seperti saya yang sukar bernafas kerana saya mungkin diintubasi jika keadaan bertambah buruk,” katanya.

Stacey meminta orang ramai yang mengambil mudah soal Covid-19 untuk mengubah pemikiran dan melindungi diri serta keluarga mereka.




“Jika memakai pelitup muka boleh mengurangkan kemungkinan anda terkena jangkitan penyakit ini biarpun hanya lima peratus, pakai saja (pelitup muka).

“Pastikan anak dan orang anda cintai memakainya. Lakukan (memakai pelitup muka) untuk dirimu sendiri,” katanya.

Stacey menerima rawatan di hospital dekat Florida, untuk kedua kalinya sejak dijangkiti Covid-19 pada 27 Disember lalu.





Lelaki itu memberitahu CNN bahawa ketika Covid-19 tercetus, dia menyamakan wabak itu dengan selesema yang teruk dan tidak mengambil banyak tindakan pencegahan untuk melindungi dirinya sendiri.

Selain itu, Stacey juga mengaku dia menderita klaustrofobia iaitu sejenis fobia dan takut berada di tempat tertutup.

Disebabkan itu, Stacey tidak dapat mengatasi ketakutan jika memakai pelitup muka dan sebagai alternatif, dia menggunakan pelindung muka.

Stacey kini berharap untuk segera keluar dari hospital kerana ketakutannya memakai pelitup muka akibat klaustrofobia sudah hilang.

“Ketakutan terhadap Covid-19 lebih buruk daripada klaustrofobia,” katanya.