Remaja lemas ketika bantu penduduk kampung berpindah

KUALA KRAI: Seorang remaja lelaki maut akibat lemas ketika membantu penduduk kampung berpindah akibat banjir di Kampung Manjor, dekat sini, malam tadi.



Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa, Mohammad Hakimin Rahim, 20, membawa dua penumpang ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan menggunakan perahu.

Berdasarkan sumber, mangsa dikatakan pengsan dan terjatuh berpunca daripada kepenatan, selain mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak awal pagi.





Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.07 malam tadi sebelum lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan jam 12.31 tengah malam tadi berikutan keadaan gelap, selain hujan dan air juga mula menaiki beberapa kawasan rendah.





“Bagaimanapun ketika pihak kami bersiap untuk menyambung operasi SAR mangsa pada pagi ini, dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di BBP Kuala Krai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, untuk tindakan selanjutnya. – BH