PKP di 6 negeri bermula Rabu – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Perdana Menteri berkata, enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.




Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

“Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.”





Aktiviti sosial libatkan perkumpulan ramai termasuk kenduri kahwin, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam juga tidak dibenarkan

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Bekalan vaksin fasa pertama akan tiba di Malaysia hujung Febuari nanti.