Pengawal keselamatan dicekup menyamar anggota polis

ISKANDAR PUTERI – Seorang pengawal keselamatan ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di kawasan Kampung Ulu Pulai, Pekan Nenas, Pontian dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, suspek yang diberkas merupakan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkairi Mukhtar berkata, sebelum ditahan suspek terbabit telah memasuki Balai Polis Iskandar Puteri dengan berpakaian jaket memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Suspek datang dalam pukul 12.10 tengah hari dengan menaiki sebuah kereta Proton Preve berwarna silver, dia masuk ke balai memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Balai Polis Sentral, Johor Bahru.





“Suspek masuk dan ambil gambar bahagian kaunter balai sebelum selang beberapa minit beredar meninggalkan balai polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, susulan maklumat laporan yang dibuat anggota Balai Polis Iskandar Puteri, pihaknya menjejaki lelaki terbabit sebelum berjaya ditahan di kawasan Kampung Ulu Pulai, Pekan Nenas, Pontian.





Jelasnya, hasil pemeriksaan dan tangkapan itu, polis merampas pelbagai peralatan dan pakaian yang digunakan suspek termasuklah baju operasi beserta pangkat Penolong Penguasa Polis, lencana polis serta sebuah kereta milik suspek.

Menurut Dzulkhairi, siasatan lanjut mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,”katanya.-K!