Panik rumah diserang lelaki dengan cangkul

Sitiawan: “Saya bersyukur tidak diapa-apakan, namun kejadian itu sangat mencemaskan terutama apabila lelaki itu kelihatan agresif dengan memegang cangkul,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ira.

Ira, 40, berdepan detik cemas lebih 15 minit apabila rumahnya didatangi lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Taman Serdang di sini, pada 10.30 pagi semalam.


Lebih menakutkan, lelaki yang tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek itu dikatakan turut membawa cangkul dan memecahkan cermin tingkap dan pintu rumahnya.

Malah, lelaki itu didakwa masuk rumah dan sempat mengambil air botol dalam peti ais sebelum keluar mengikut pintu belakang.

Ira berkata, ketika kejadian dia tinggal berseorangan di rumah dan sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala suaminya berkerja.

Menurutnya, sebelum itu, dia menyedari lelaki itu berjalan mundar-mandir di hadapan kawasan rumahnya sambil mengheret sesuatu.

“Saya kemudian memeriksa dan mengunci semua pintu serta tingkap sebelum melihat lelaki itu membuka pagar sambil membawa cangkul.

“Saya terus menghubungi suami, jiran dan polis. Lelaki itu kemudian mengetuk dan menyuruh buka pintu, malah dia juga mengelilingi rumah hampir empat kali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.





Katanya, lelaki itu kemudian bertindak agresif dengan merosakkan jaring di pintu jeriji dan memecahkan tingkap serta pintu kayu rumahnya.

“Melihat pintu sudah pecah dan terkopak saya terus melarikan diri ke dalam bilik dan mengunci serta menahan pintu dengan tiang besi penyangkut baju.

“Lelaki itu dapat masuk dalam rumah dan cuba menolak pintu bilik tetapi saya menahannya dari dalam. Dia kemudian keluar ikut pintu belakang dan sempat mengambil air botol dalam peti ais,” katanya yang mendakwa selak pintu rumahnya tercabut dipercayai kesan tolakkan kuat.

Ira berkata, suaminya pulang ke rumah dan mengejar lelaki itu dengan bantuan orang kampung sebelum lelaki itu pergi semula ke rumahnya dan melarikan motosikal suaminya.

“Saya rasa dia bukan mahu merompak kerana beg tangan di meja hadapan tidak di usik, malah lelaki itu tidak menyelongkar rumah,” katanya membuat laporan polis di Seri Manjung.





Jirannya, Mohamed Nor Mohamed Alwi, 70, berkata, dia melihat lelaki tidak dikenali itu berjalan di sekeliling rumah jirannya itu dengan memegang cangkul seperti sedang marah sebelum isterinya menghubungi polis.

“Selepas keluar dari rumah jiran, lelaki itu pergi ke rumah seorang lagi jiran dan mengetuk pintu rumah sebelum dia memasuki kawasan rumah saya dan mengetuk pintu jeriji yang berkunci.

“Ketika itu pintu kayu memang sudah terbuka dan saya dan isteri bertentangan mata dengan lelaki itu dan dia menanyakan nama tetapi kami yang panik hanya diam sebelum dia menyepak pasu bunga,” katanya.

Katanya, selepas itu mereka mendapat maklumat lelaki itu kemalangan di Taman Sejati dan sudah ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pecah rumah di Taman Serdang dan suspek sudah ditahan semalam. – HMetro