‘Pak guard’ sekolah didakwa sentuh bahu pelajar perempuan

KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini terhadap pertuduhan melakukan kesalahan seksual dengan menyentuh bahu seorang pelajar berusia 13 tahun pada Isnin lalu.



Muhammad Afiq Mohamed Zahari, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan maksud seksual telah menyentuh kedua-dua bahu mangsa daripada belakang di dalam kawasan sekolah, pada jam 5.14 petang, minggu lalu.





Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizudin Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun tertuduh memohon supaya dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai isteri dan seorang anak.





Mahkamah dia diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 1 Mac depan. Sinar Harian