Malaysia dilanda musim sejuk

KUALA LUMPUR – Baru memasuki hari ketiga di tahun baharu, rakyat Malaysia mulai merasai ‘cuaca sejuk’ apabila merata tempat pada Ahad dilanda hujan, langit mendung dan diselubungi kabus di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Suhu di sekitar Lembah Klang pada Ahad turun sehingga 23 darjah Celsius, antara yang terendah dalam beberapa bulan ini apabila negara dilanda cuaca sejuk akibat musim Monsun Timur Laut yang dikenali juga sebagai ‘musim sejuk.’


Menurut Tinjauan Cuaca Jangka Panjang di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), musim tengkujuh yang bermula pada 11 November lepas dijangka akan berlanjutan hingga Mac ini.

“Selama tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin Timur Laut yang stabil dengan angin kencang sekali-sekala dengan kelajuan antara 10 dan 20 kilometer sejam.

“Hujan lebat berturut-turut dijangka berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah,” menurut kenyataan di laman web itu.





Jabatan itu juga memberi amaran, hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah yang sering banjir dengan risiko banjir menjadi teruk jika hujan beberapa hari disertai air pasang.

Di samping itu, angin kencang Timur Laut yang berterusan dan kuat akan menyebabkan laut bergelora dan gelombang besar berlaku di perairan Laut China Selatan.

MetMalaysia melaporkan kebanyakan bandar di seluruh negara akan mengalami hujan berterusan hari ini dengan suhu minimum dicatatkan di Cameron Highlands pada 17 darjah Celsius diikuti oleh Kluang (22 darjah Celsius) sementara Kuala Lumpur, Temerloh, Kuala Pilah, Batu Pahat dan Kuantan pada 23 darjah celsius.




Sebilangan pengguna media sosial menyatakan kegembiraan mereka dengan keadaan cuaca sekarang, malah ada yang menyifatkan ia sebagai ‘musim sejuk’ telah tiba di Malaysia.

Seorang siswazah, Aleya Abdullah, 24, yang kini menetap di Janda Baik, Pahang berkata, dia tidak perlu menghidupkan kipas elektrik atau penghawa dingin sepanjang hari kerana cuaca semasa sudah cukup sejuk. – Bernama