Lelaki ditemukan mati depan komputer riba

Bukit Mertajam: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di lantai dalam keadaan menghadap komputer riba di Taman Jambu Mawar, di sini, malam tadi.



Kejadian disedari jirannya yang hairan mangsa tidak keluar rumah selepas dipanggil hingga menyebabkan dia menghubungi bomba pada jam 9.30 malam berikutan bimbang terjadi perkara tidak diingini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.





“Ketika tiba didapati keadaan pintu berkunci dan memaksa anggota memecahkan pintu berkenaan menggunakan peralatan khas.

“Sebaik pintu dibuka, anggota mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 60 tahun berada di ruang tamu rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, petugas perubatan yang berada di lokasi mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.




“Mayat diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Operasi itu ditamatkan pada jam 10.07 malam.