Ketukan misteri di tingkap terhenti dengan laungan azan

Alor Gajah: “Ketukan tingkap kira-kira 15 minit amat menakutkan sehingga meremang bulu roma,” kata Mohd Zaki Abu Bakar, 36, menceritakan kejadian misteri yang berlaku di rumahnya di Taman Bukit Emas, minggu lalu.

Susulan itu juga dia membuat laporan di Balai Polis Rembia, Khamis lalu, dan mendedahkan pengalamannya hari ini.



Menurutnya, ketukan kuat itu berlaku ketika dia bersendirian di ruang tamu kerana isteri dan anak pulang ke kampung di Malim, Melaka.

Katanya, dia terkaku seketika apabila mendapati tiada sesiapa di luar rumah malah pintu pagar berkunci dan tiada kesan haiwan atau manusia memasuki kawasan kediamannya.

“Menyedari tiada siapa berada di luar rumah saya melaungkan azan sehingga ketukan semakin perlahan dan hilang.





“Situasi telefon bimbit yang hampir kehabisan bateri menyebabkan saya hanya sempat menghubungi jiran rapat namun panggilan tidak berjawab. Ia mendorong saya melaungkan azan dan membaca surah pendek,” katanya hari ini.

Dia berkata, sebelum ini dia hanya mendengar cerita ketukan misteri di rumah di beberapa negeri namun dia tidak menjangkakan berlaku di kediamannya.





Zaki berkata, kira-kira jam 4 pagi, dia melakukan pemeriksaan dengan jiran dan mendapati kesan retakan di tingkap rumah yang diketuk sekali gus menimbulkan kemusykilan.

“Saya membuat laporan polis dan mengharapkan rondaan lebih kerap pihak keselamatan mampu melegakan saya dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, rumah rumah di kawasan terbabit tidak mengalami situasi berkenaan. HMetro