‘Guna Signal’ – Elon Musk minta orang ramai waspada terma baharu WhatsApp

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk menggesa orang ramai menggunakan aplikasi pesanan, Signal susulan tindakan WhatsApp memaksa pengguna bersetuju dengan terma baharu perkhidmatan aplikasi pesanan terkemuka itu.



Menerusi kemas kini di laman Twitter, Musk yang juga CEO SpaceX pada Khamis secara ringkas menulis: “Guna Signal”.

Ini bukan pertama kali Musk mengkritik syarikat teknologi gergasi Facebook milik Mark Zuckerberg itu.





Mengikut terma baharu, WhatsApp meminta kira-kira dua bilion penggunanya untuk menerima syarat perkhidmatan bagi membolehkan ia berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat induknya, Facebook.

Maklumat-maklumat tersebut termasuk data peribadi yang dikumpulkan oleh WhatsApp seperti alamat IP dan nombor telefon pengguna.




Kemas kini aplikasi tersebut mencetuskan kritikan dalam kalangan pengguna kerana mereka perlu bersetuju dengan terma baharu tersebut.
Jika tidak, akses seperti panggilan video dan pesanan suara akan dihentikan mulai 8 Februari ini.

Aplikasi Signal mula diperkenalkan pada 2014 oleh Signal Foundation yang ditubuhkan oleh bekas pengasas WhatsApp, Brien Acton.
Aplikasi yang menggunakan tagline ‘say hello to privacy’ itu dijangka menjadi pesaing kepada aplikasi WhatsApp.