Dah salah bayar sajalah denda – Bob Lokman

Hukuman denda dijatuhkan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri selepas tertuduh mengaku bersalah dan memohon maaf.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia hanya mahu kes membabitkan bapanya itu selesai segera dan denda berkenaan akan dibayar oleh adik-beradiknya dan keluarga.



“Soal undang-undang ini tak kenal usia. Walaupun, bapa saya sudah berusia dan warga emas, tetapi bila sudah terbabit undang-undang serta dia juga mengaku bersalah, jadi kenalah bayar denda itu.

“Nak dikatakan apa lagi. Bagi saya, ia dugaan buat kami sekeluarga dan sebagai anak, saya memang tahu perangai sebenar bapa. Apapun, saya bersyukur kes ini sudah pun selesai,” katanya.

Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella nyanyian Search berkata, baginya duit untuk membayar denda itu boleh diusahakan mereka adik-beradik, namun harapan yang paling utama adalah kes itu dapat diselesaikan secara undang-undang.

Ditanya juga sejauh mana dia mengetahui kes menimpa bapanya itu, Bob berkata, dia memang tahu mengenainya tetapi pada ketika itu perlu menguruskan prosedur pembedahan jantung yang harus dijalani awal Disember, tahun lalu.

“Ketika bapa saya terbabit kes itu, saya pun tidak sihat. Malah, adik-beradik yang lain tahu saya sibuk menguruskan prosedur perubatan untuk diri sendiri. Jadi, kes bapa itu, mereka yang uruskan tanpa saya.

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada adik-beradik dan keluarga kerana memahami masalah kesihatan saya. Dalam soal ini, saya sangat bersyukur apabila kes perbicaraan bapa sudah berakhir, hari ini,” katanya.




Mengulas perkembangan kesihatannya, Bob berkata, dia kini sudah berada di Kedah selepas mendapatkan surat kebenaran merentas negeri untuk menjalani pemeriksaan berkala ditetapkan oleh doktor.

“Pemeriksaan kali keempat dengan doktor di Hospital Sultanah Bahiyah akan saya jalani pada 21 Januari ini, namun saya datang ke Kedah dari Kelantan lebih awal, kerana perlu berehat.

Terdahulu mengikut pertuduhan pertama, bapa Bob Lokman dikatakan mengeluarkan kata-kata ugutan dengan memberitahu Mohd Hanis Sulaiman, 34, dia ingin menetak dan menembak mangsa, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 39, sehingga mendatangkan ketakutan kepada pengadu dalam kejadian di Masjid Tok Kenali jam 11 pagi pada 21 November tahun lalu.





Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua di lokasi, tarikh dan masa yang sama, bapa Bob Lokman dikatakan melakukan khianat dengan merosakkan harta masjid iaitu memecahkan pasu bunga serta memotong pokok bunga di kawasan masjid yang menyebabkan kerugian RM150 kerana memarahi Muhammad Hafiz Hukmi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara kurang satu tahun dan sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – Harian Metro