Calitan tekak dan hidung lebih berkesan, tak perlu calitan dubur

KUALA LUMPUR: Ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung sudah memadai untuk melakukan pengesanan COVID-19.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata ia berdasarkan data yang menunjukkan kadar atau peratusan pengecaman virus SARS-CoV-2 dengan menggunakan dua kaedah calitan itu lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak perlu ujian pengesanan COVID-19 terhadap najis, dubur atau rektum yang cuma mengundang ketidakselesaan dan kesan negatif dalam kalangan masyarakat.


Mengikut data, kadar pengecaman virus SARS-CoV-2 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan tekak adalah 88 peratus. Calitan najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus. Calitan konjunktiva iaitu di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula satu peratus. Pengecaman melalui air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus.

Berdasarkan kepada kadar (peratus) pengecaman, ujian calitan nasopharyngeal dan tekak sudah memadai untuk tujuan penyaringan COVID-19. Prosedur yang digunakan juga tidak terlalu membebankan. Ujian calitan najis, dubur, rektum boleh digunakan untuk tujuan saringan COVID-19. Bagaimanapun, prosedur yang perlu digunakan itu akan mengundang ketidakselesaan.

“Ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dalam usaha menggalakkan masyarakat menjalani ujian saringan. Saya berpendapat kita tidak perlu ujian saringan membabitkan calitan najis, dubur atau rektum,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas ujian calitan dubur di China sebagai kaedah lain mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan media, Li Tongzeng, seorang doktor kanan di Hospital You’an Beijing dipetik sebagai kepada CCTV, teknik calitan di dubur boleh meningkatkan kadar pengesanan dalam kalangan mereka yang dijangkiti kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di bahagian itu berbanding saluran pernafasan.





Mengulas hal itu, Dr Yahya menegaskan pertama sekali orang ramai perlu membezakan antara ‘infectivity’ (jangkitan) dengan ‘positivity’ (positif).

Jelasnya, seseorang yang melalui pengalaman COVID-19 berkemungkinan masih boleh memberikan keputusan positif tetapi tidak berjangkit.

“Yang perlu diberi perhatian adalah keadaan ‘infectiousness period’ (tempoh berjangkit) yang merujuk kepada ‘viral load’ (beban virus) yang tinggi dan virus aktif bereplikasi atau dalam erti kata lain mengakibatkan kuantiti virus yang tinggi. Dalam keadaan ini, kebolehjangkitan adalah sangat tinggi.

“Apabila seseorang sudah pulih, masih terdapat kemungkinan saki baki virus yang telah mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi infectious (berjangkit) dalam badan. Ini akan masih memberikan keputusan positif apabila saringan dibuat tetapi kebolehjangkitan adalah hampir tiada,” katanya.




Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata keputusan positif untuk sampel dari sistem pencernaan sudah lama diketahui.

Kajian berkaitan perkara itu sudah setahun dijalankan dan mendapati sampel yang positif dari najis boleh didapati positif lebih lama berbanding sampel daripada sistem pernafasan.

“Misalnya, sampel dari najis boleh positif hingga berpuluh-puluh hari. Bagaimanapun persoalannya, adakah pesakit yang positif calitan dubur masih boleh menjangkiti orang lain? Yang itu perlu jawapan dahulu kerana setakat ini kita tidak mempunyai pengetahuan lengkap mengenai hal ini,” katanya. – Berita Harian