AS$13 juta lesap, polis Korea Selatan buru wanita Malaysia

SEOUL: Polis Korea Selatan sedang memburu seorang eksekutif kasino warga Malaysia selepas dipercayai melarikan diri bersama wang tunai berjumlah 14.6 billion won atau AS$13 juta (RM52.82 juta) dari pusat perjudian itu.

Syarikat berpangkalan di Hong Kong, Landing International Development, yang mengendalikan kasino Jeju Shinhwa World, dalam satu kenyataan, berkata wanita terbabit yang bertanggungjawab terhadap tabung kasino berkenaan gagal dihubungi.





Jeju, pulau peranginan popular di luar pesisir pantai di selatan Korea Selatan itu mempunyai banyak kasino yang dikhususkan untuk pelanggan warga asing asing saja.

Polis Daerah Jeju enggan mengulas lanjut, namun mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan bersama pasukan anti rasuahnya.





Difahamkan, pekerja terbabit tidak kembali bekerja selepas bercuti sejak hujung Disember lalu.

Polis turut merampas kamera litar tertutup (CCTV) dari kasino berkenaan, namun rakaman video ketika kejadian itu berlaku tidak ditemui.

Wang tunai yang hilang itu dianggarkan seberat 280 kilogram dan sukar untuk seorang individu mengangkatnya keluar dari kasino berkenaan. – AGENSI