Wanita memandu lawan arus serah diri, direman 3 hari

Seremban: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sekitar Hentian Rehat Senawang, Isnin lalu, sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.



Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, wanita berusia 24 tahun itu tampil ke IPD Seremban, kelmarin, bersama seorang lagi wanita berusia 30 tahun yang menjadi penumpang ketika kejadian.

“Identiti kedua-dua wanita itu berjaya dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban pada 5 petang, Selasa lalu, sebelum mereka tampil menyerah diri.

“Hasil siasatan, ketika kejadian wanita itu bergerak dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.




Mengulas mengenai kejadian, beliau berkata, wanita terbabit mendakwa tiba di kawasan Hentian Rehat Senawang, namun terputus hubungan dengan rakan menunggang motosikal yang bergerak bersamanya.

“Lantas wanita itu bertindak membuat pusingan U di lebuh raya terbabit dan memandu di lorong kecemasan sehingga ke susur Tol Pedas-Linggi (arah utara) untuk mengesan penunggang terbabit.





“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua wanita dapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, pemandu wanita itu direman tiga hari bermula semalam, manakala penumpang diberi jaminan polis.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 36 saat memaparkan kereta Perodua Alza dipandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sekitar Hentian Rehat Senawang di Kilometer 248 (arah utara) menuju ke arah Kilometer 240 (Utara) Lebuhraya Utara Selatan.