[VIDEO] Tukang kayu jadi jutawan segera jual batu meteor RM7.6 juta

SEORANG lelaki di Indonesia menjadi ‘jutawan segera’ selepas sebuah bongkah batu dipercayai batu meteor, jatuh menembusi bumbung rumahnya.

Josua Hutagalung yang merupakan seorang pembuat keranda berkata, dia sedang bertukang berhampiran rumahnya apabila batu daripada angkasa lepas itu ‘menerjah’ bumbung rumahnya yang terletak di Kolang, Sumatera Utara, pada Ogos lalu.



Josua yang dipetik Kompas berkata: “Bunyi sangat kuat ketika itu, dan rumah saya juga bergegar. Bila saya periksa, saya nampak atap zink rumah saya berlubang.

“Kemudian kelihatan sebongkah batu. Ketika saya cuba mengalihkannya, batu itu masih panas,” katanya.




Batu seberat 2.1 kilogram itu dipercayai berusia 4.5 bilion tahun dan merupakan salah satu meteorit yang terhebat pernah ditemukan.

Jelas Josua dia sudah menjual batu berkenaan kepada seorang pengumpul setelah ditawarkan wang berjumlah £1.4 juta (kira-kira RM7.6 juta).

Bapa kepada tiga orang anak itu berhasrat untuk menggunakan wang tersebut bagi membina sebuah gereja di kampungnya.




Sementara itu, pakar batu angkasa yang juga pembeli sebahagian batu itu, Jared Collins berkunjung ke rumah Josua bagi mendapatkan meteorit itu.

“Biarpun kita berada di dalam pandemik Covid-19, saya terdorong untuk membeli batu tersebut, untuk bekerjasama dengan saintis dan pengumpul di Amerika Syarikat,” ujarnya.

Batu meteor itu diterbangkan ke Amerika Syarikat, di mana ia dilaporkan dibeli pula oleh Jay Piatek, seorang doktor dan pengumpul meteorit dari Indianapolis. – Metro.co.uk