[VIDEO] Lelaki Myanmar parah, leher hampir putus

PASIR PUTEH: Seorang lelaki warga Myanmar mengalami kecederaan parah dengan leher hampir putus ketika dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) petang semalam.



Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pihak hospital pada jam 7.30 malam tadi.

Katanya, polis sudah mendapatkan keterangan daripada mangsa dan pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

“Siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi mengetahui punca keadaan mangsa dan saya belum boleh mengesahkan leher mangsa disembelih dalam kejadian pergaduhan sebagaimana yang ditularkan.





“Kita juga masih mendapatkan maklumat terperinci kejadian kerana mangsa sukar untuk bercakap,” katanya ketika dihubungi.

Malam tadi, tular satu rakaman video berdurasi 33 saat dengan kapsyen ‘Kelantan Pasir Puteh Kampung Pak Mat Yong kena sembelih dalam satu pergaduhan’.

Video itu memaparkan seorang lelaki sedang menekup lehernya dengan sehelai kain sebelum memperlihatkan keadaan lehernya yang sudah terbelah dua sehingga terlihat kerongkong.





Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa tiba di hospital dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibawa kenalannya.

“Saya nampak polis ambil keterangan mangsa namun dia kelihatan seperti tidak tahu berbahasa Melayu dan dikatakan warga Myammar,” katanya.