Suspek bunuh rakan dakwa berang diejek miskin, tidak cantik

Kuala Berang: Polis tidak menolak kemungkinan rasa tidak puas hati akibat sering disindir dipercayai menjadi punca pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, di Kampung Lubok Batu, Telemong, di sini, kelmarin.




Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek ada membuat pendedahan mengenai motif kejadian itu ketika tampil ke Balai Polis Telemong dengan ditemani ibunya kira-kira jam 7.30 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek berusia 19 tahun memaklumkan mangsa sering mengejek tentang kehidupan keluarganya yang miskin kerana ibunya hanya bekerja sebagai tukang cuci manakala bapanya hanya bekerja kampung berbanding kehidupan keluarga mangsa yang agak senang.





“Suspek turut mendakwa kononnya mangsa suka mengejek dengan mengatakan yang dia tidak cantik berbanding dirinya dan kekurangan itu menjadi punca dia masih tidak mempunyai teman lelaki sehingga suspek sering memendam rasa.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

Mohd Adli berkata, selain pergelangan tangan mangsa dipotong, pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan tusukan pada leher mangsa dan beberapa kecederaan lain.




“Kita juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum itu kerana kita ada menjumpai beberapa helaian rambut dalam genggaman mangsa,” katanya.

Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.